PRAKATA PENGETUA
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNYA Buku Pengurusan SMK UluTiram 2012 dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ianya menjadi dokumen penting sebagai panduan dan rujukan kepada semua warga SMKUT dalam bidang pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid. Semua warga SMKUT khususnya para guru dan anggota kakitangan sokongan perlu meneliti dan memahami isi kandungannya serta mengamalkannya. Sebagai penjawat awam adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam melaksanakan dasar-dassar dan arahan-arahan kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tirai 2012 menyaksikan banyak tindakan penambahbaikan dan perubahan melibatkan para pelajar di sekolah. Pihak sekolah khususnya diminta membantu menyalurkan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM 100 bagi tahun 2012. Begitu juga dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam Peperiksaan Awam PMR dan SPM, MBMMBI bagi menggantikan Dasar PPSMI secara berperingkat-peringkat atau ‘softlanding’, Dasar 1 Murid 1Sukan (1M1S), Perekayasaan Disiplin Pelajar, Perekayasaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah, Pelaksanaan Kurikulum Standard Rendah (KSSR) mulai 2011 dan diikuti pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Pelaksanaan dalam Bidang Keberhasilan Utama nasional (NKRA) terutamanya melibatkan 4 Sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan.
Dalam usaha ke arah transformasi dan pembaharuan sistem pendidikan ini, adalah menjadi fokus pihak sekolah untuk mengekalkan matlamat asas melahirkan insan yang berkualiti. Bahkan ia menjadi pra syarat utama kepada kejayaan untuk memajukan negara dan pada masa yang sama membina masyarakat yang beradab seiring dengan perkembangan semasa. Produktiviti yang digabungkan dengan kreativiti serta inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan di sekolah khususnya dan institusi pendidikan amnya. Sebagai tenaga pelaksana yang sangat penting marilah kita sama-sama memupuk semangat bekerjasama, penuh rasa tanggungjawab, berintegriti dalam menjayakan dan melaksanakan dasar-dasar Kementerian Pelajaran Malaysia dengan penuh dedikasi.
Begitu juga kecemerlangan dalam pencapaian bidang kokurikulum tahun 2011 dapat dijadikan sandaran untuk memperhebatkan usaha melahirkan jaguh dan wira yang mampu mengharumkan nama sekolah serta daerah Pasir Gudang. Berbekalkan semangat jati diri SMKUT dan keupayaan yang tinggi adalah tidak mustahil untuk kita menawan puncak kegemilangan hingga peringkat nasional atau internasional.
Akhir kalam, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam penyediaan Buku Pengurusan 2012. Semoga pada tahun ini warga SMKUT akan meneruskan sikap positif dan proaktif, berfikir secara kreatif dan inovatif dan bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ingatlah pada moto kualiti PPD Pasir Gudang “Kerja Sepasukan Meraih Kegemilangan”.
Sekian ,terima kasih.
( HJH ZAWIAH BINTI MD AMIN)
PENGETUA